Ahad, 7 Jun 2026

Pokok Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) & Bakau Kurap (Rhizophora mucronata)

  Assalamualaikum dan selamat malam


Di sini, saya akan nyatakan antara flora yang ada di Taman Lokan. 

Kategori pertama merupakan tumbuhan asal di Taman Lokan. Ianya hasil sebaran semulajadi oleh alam.  Samada mengikut aliran air sungai dan pasang surut (Hidrokori), sebaran oleh haiwan (Zookori), angin (Anemokori)  dan lain - lain lagi.

Kategori kedua ialah ditanam oleh Pak Zainal bagi hiasan dan membantu Pak Zainal dalam industri ekopelancongan di Taman Lokan.





POKOK BAKAU



Ini adalah antara pokok bakau tertua di Taman Lokan. ( berdasarkan akarnya )


    Antara pokok yang membiak melalui air adalah pokok bakau. Menurut chatgpt, pokok bakau, akan menjatuhkan benih yang telah bercambah di pokok induk ke dalam air. Air sungai akan menghanyutkan benih tersebut ke kawasan lain dan menjadi pokok bakau di kawasan baharu tersebut.

   Pokok bakau penting dalam melindungi alam daripada kesan hakisan, sampah daripada air pasang, benteng utama banjir, dan bantu mengurangkan kesan penipisan ozon. 

Alam banyak bergantung kepada pokok bakau ini. Pokok bakau merupakan habitat bagi pelbagai haiwan. Lokan banyak hidup di tanah lumpur di bawah rimbunan bakau ini. Siput seperti siput sedut dan siput timba juga boleh di temui di pokok bakau. 

Habitat ini banyak membantu penduduk setempat mendapatkan sumber makanan mereka. Pelbagai resepi dan juadah yang menjadi hidangan penduduk setempat. Bahagian batang pokok bakau menjadi arang, tiang bangunan dan bahagian bot. Nelayan pula dapat mengutip hasil sungai dan menjualnya sebagai sumber pendapatan. Pak Zainal pula dapat menjadikan kawasan bakau di Taman Lokan ini sebagai pusat ekopelancongan dan tempat Pak Zainal menunjukkan kreativiti Pak Zainal. 




Rabu, 28 Disember 2016

Projek Penempatan Siri 5 : Khazanah Dari Tanah Bencah II - Taman Lokan Melaka

Projek Penempatan Siri 5 Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM ) Tahap Emas dari Badan Operasi Persatuan Belia G2 Felda Pemanis dan Quantum Training Centre telah berlangsung dari 21 - 25 Disember 2016. Ia membawa tajuk Khazanah Dari Tanah Bencah II dan diadakan di Taman Lokan di mana Pak Zainal telah menjadi Penilai Luaran mereka.


Seramai 6 orang peserta untuk tahap Emas iaitu :- 


Seramai 4 orang ARPRM Tahap Gangsa dari Terengganu dan disertai oleh mentor,  Mohd Nur Ashraff Husin.  juga telah berada di Taman Lokan ( 21 & 22 hb ).  Beliau pernah menjalankan aktiviti ARPRM Tahap Emas di Taman Lokan pada tahun 2015.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan dan Ahamdulillah mereka berjaya mencapai matlamat mereka di Taman Lokan.
Mereka telah diduga dengan pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang program mereka di sini. Antaranya merasa pengalaman berjalan kaki, menaiki kereta, van, dan juga sampan,

Pak Zainal telah meminta saya membantu kerana terdapat peserta wanita. Saya hanya sempat membantu pada hari pertama sahaja kerana ada urusan lain. Namun begitu, saya yakin dengan ketulusan peserta2 dalam menjalankan program. Mereka tidak meninggalkan solat dan mereka menjaga tatatertib antara lelaki dan wanita.

Malah mereka tidur dalam lingkungan pukul 2 pagi kerana ingin menyiapkan pelaporan yang perlu ditulis di dalam dua bahasa ( Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ). Selaku seorang guru bahasa Inggeris, saya bangga dengan komitmen semua ahli dalam membantu satu sama lain di dalam tugasan itu. ( ketika itu mereka berbincang di hadapan khemah saya ).

Setiap aktiviti meninggalkan kenangan yang manis, dan pahit. Itulah yang menjadikan kita semakin dewasa.

Peserta2 dibimbing mencari lokan, menjala, menyembelih ayam, membuat sarung cempedak menggunakan daun nipah dan sebagainya.

Saya dan keluarga berharap agar peserta2 dapat menghargai habitat hutan bakau ini. Banyak hidupan bergantung kepada pohon bakau yang ada. Pohon bakau telah ditanam semula dibanyak tempat untuk mengelakkan tsunami. Sekiranya hutan bakau makin berkurangan, makin lama makin banyak hidupan yang akan pupus.

Semoga makin ramai yang sedar akan kepentingan menjaga alam semulajadi ini. Kita bukan lakukannya untuk diri sendiri sahaja malah untuk generasi yang akan datang.

Seandainya ingin menonton  video2 yang dibina oleh mereka, klik di sini :- https://www.youtube.com/watch?v=nktDGvKRqr8

Koleksi gambar pula boleh dilihat di blog mereka iaitu :-  http://beliag2pemanis.blogspot.com/  atau

instagram mereka https://www.instagram.com/explore/tags/projekpenempatansiri5/



Isnin, 19 September 2016

Aktiviti Hari Malaysia ~ 1

Pada 16hb September yang lepas, kami ( saya, 3 orang anak saya ), menyambut Hari Malaysia bersama Pak Zainal di Taman Lokan. Kali ini, kami bertolak daripada Pengkalan Nelayan Paya Lebar.

Untuk pengetahuan para pembaca, terdapat 3 cara untuk ke Taman Lokan iaitu jalan darat terus ke Taman Lokan, dari Pengkalan Tebing Urut, dan dari Pengkalan Paya Lebar. Kami selalunya mengikut jalan darat dan Pengkalan Tebing Urut. Ini kerana saya terlalu memikirkan cerita - cerita Pak Zainal mengenai kehadiran buaya di sungai. Baru - baru ini, adik saya dan Pak Zainal telah menyaksikan buaya sedang membaham seekor monyet ketika mereka sedang memancing ikan pada bulan yang lepas. Malah, ketika saya sedang menulis post ini, Pak Zainal menyatakan hari ini terdapat seekor buaya berdekatan Pengkalan Tebing Urut dan Taman Lokan.

Namun, kali ini Pak Zainal dan anak - anak berjaya memujuk saya bertolak dari Pengkalan Paya Lebar. Pada pagi itu, terdapat beberapa nelayan yang berada di Pengkalan. Salah seorang daripada mereka ialah Pakcik Ram yang sempat bergurau mengenai Pak Zainal yang ingin mengayuh bot sambil mengikut arus air.

Keadaan air yang bersih daripada bahan buangan manusia sememangnya menenangkan perasaan. Ditambah pula dengan bunyi alam yang menemani kami disepanjang perjalanan ke Taman Lokan. Sang cengkerik mengalunkan irama merdu membuatkan saya teringat kenangan zaman kecil sebelum rumah di penuhi dengan bunyi televisyen dan kenderaan. Gabungan bunyi air surut yang berlumba - lumba untuk menuju ke laut sambil dihalang oleh daun dan bahagian pepohon, beberapa unggas seperti helang, raja udang, bangau, dan lain - lain lagi, dan kawanan monyet yang menemani kami merupakan daya tarikan yang tidak dapat dilupakan.

Air yang mula surut membantu melancarkan perjalanan kami. Tetapi, hati - hati kerana air yang surut ini boleh membuatkan kita tidak dapat mengawal perahu dan bot dengan baik. Kami tidak dapat mengambil gambar seekor ular yang berada di dahan pohon duri onak kerana air yang laju.


Duri onak ataupun duri anak merupakan pohon yang perlu dijauhi. Ini kerana ia mempunyai duri yang boleh merosakkan pakaian dan melukakan badan kita. Terdapat beberapa insiden di mana beberapa pelancong yang pernah menaiki bot luka kerana mereka terpegang pohon tersebut ketika bot sedang laju. Mesti sakit..



Perjalanan yang lambat memang tidak disenangi oleh anak - anak saya. Mereka tidak menyukai suasana sunyi seperti saya dan Pak Zainal. Walaupun mereka mendengar penerangan Pak Zainal mengenai flora dan fauna di sepanjang perjalanan, mereka lebih suka cepat sampai ke Taman Lokan.
Terdapat pokok buta - buta, pokok bakau, berembang dan yang pelik ialah buah pelir kambing, Menurut Pak Zainal, buah pelir kambing ini boleh dimakan oleh manusia terutama sekali dibuat halwa. Namun, ia amat merbahaya kepada binatang yang berkaki empat. Dikatakan bahawa ia memberikan kesan negatif pada bahagian pinggang haiwan tersebut sehingga boleh mengakibatkan kematian. Saya tidak dapat mengambil gambar pokok tersebut kerana arus yang laju.

Pak Zainal membawa kami ke jalan pintas. Jalan pintas / terusan tersebut memang sempit. Pak Zainal menyatakan perahu besar kami masih boleh melalui terusan ketika itu kerana air masih belum surut lagi. Saya tidak dapat membayangkan apa yang perlu kami lakukan sekiranya bertembung dengan perahu lain.  Saya boleh bayangkan bagaimana situasi ular yang jatuh ke dalam perahu. Dahan pokok betul - betul di atas kepala dan kebanyakan masa diambil untuk menolak dahan yang hampir ke arah kita. Namun apabila Pak Zainal menunjukkan ular yang ada, kami tidak berani memegang dahan - dahan itu lagi.

Selain daripada itu, anak - anak mengeluh kerana mereka terpaksa bertarung dengan puluhan nyamuk sepanjang terusan itu. Akhirnya kami tiba di sungai dan sampailah kami ke destinasi kami iaitu Taman Lokan. Anak - anak terus bermain ketika sampai di daratan. Saya pula menarik nafas lega kerana selamat sampai.



Selasa, 6 September 2016

Lintah bulan

3 minggu lepas, Pak Zainal dan cucu-cucu memenuhi jemputan kenduri kahwin anak Puan Normah, guru Besar Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar.
Kemudian, kami singgah ke Muara Sg Linggi bersebelahan Balai Polis di sana..

Pak Zainal mengambil peluang itu untuk mencari lintah bulan laut.
Lintah bulan laut ini dikatakan antara spesis gamat laut tetapi ianya khas untuk dibuat umpan pancing atau gawai.

Pada mulanya, kami anak beranak geram kerana tidak dapat mengecam lintah bulan laut.  Manakala Pak Zainal pula dapat menangkap beberapa ekor lintah bulan laut dengan mudahnya.
Namun, setelah Pak Zainal memberikan beberapa tips untuk mencari lintah bulan laut ini, kami berjaya pulang dengan beberapa ekor lintah bulan laut. Sungguh puas apabila berjaya mengecam lintah bulan laut disebalik penyamarannya.

Ini adalah laman yang menceritakan perihal lintah bulan laut ini dengan lebih terperinci..
zulkiffleeh.blogspot.com 



Dapatkah anda mencari lintah bulan laut d dalam gambar ini? Badannya yang berbatu-batu dan berbeza dengan batu yang sebenar


nyaman dan luas pemandangan

Pak Zainal telah melihat lintah bulan laut di situ.

Siput yang ada di sini

Kami pelik dengan banyaknya benda - benda bulat seakan telur - telur di sepanjang pantai ini.  Untuk info, terdapat seekor lintah bulan di dalam gambar ini. Selamat mencari. :)

Mungkinkah telur-telur di gambar di atas merupakan telur siput ini?


Lintah bulan laut .... tips.... di atas batu
Semoga terhibur dan mendapat info menarik.  

Rabu, 31 Ogos 2016

MERDEKA!!!

Pak Zainal ingin mengucapkan selamat menyambut Merdeka.

Pak Zainal juga bersemangat menghias Taman Lokan Dan Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar sempena Bulan Mendekaan ini.








Sabtu, 4 Jun 2016

program WAFA Wafdul Amin Sekolah Men Islam Al Amin Bestari D'merlimau

Assalamualaikum,

Pada pukul 11 pagi tadi, majlis penutup Program WAFA Wafdul Amin telah dijalankan.
Program ini merupakan Salah Satu perancangan pelajar- pelajar tingkatan 5 dan guru Sekolah Men Islam Al Amin Bestari D'merlimau Sejak 2015 Lagi. 

Ianya diiringi oleh 4 orang guru dan salah seorangnya ialah cikgu Mohamad Azri Ariffin  Bin Osman.

Manakala pelajar - pelajar adalah seramai  26 orang pelajar tingkatan 5 iaitu 13 orang lelaki dan  13 orang perempuan.  Mereka diketuai oleh adik Muhd Adham bin Md Zubir.

Mereka telah dibahagikan kepada 8 keluarga angkat: Pn. Senyum, Pn Noriah, Pn Latifah, En Jasni,  Pn Mastura, En Basar, Pn Norhayati, dan Pn Noorbaayah. Ada di antara mereka merupakan nama yang selalu menawarkan diri untuk menjadi ibu dan bapa angkat kepada Program anak angkat di Paya Lebar ini.

Seperti biasa program dijalankan oleh Syed Fauzi, Pengerusi Belia 4b Kg Paya Lebar , dan ajk beliau, antaranya, adik Safuan @ cepu dan fitri @ cot.


Anak - anak angkat ini dapat mengenali suasana kehidupan dan pekerjaan penduduk di Kg Paya Lebar Seperti nelayan, petani, penternak ... Etc. 

Mereka juga telah menjalankan beberapa aktiviti di Taman Lokan. 
Pak Zainal tidak dapat menghadirkan diri ke majlis penutup ini kerana melayani tetamu lain di Taman Lokan.

Apa yang menarik ialah kegigihan para pelajar mengadakan aktiviti jualan di asrama mencari dana didalam proses mengadakan program ini.  Sejak tahun lepas mereka bekerjasama menjalankan aktiviti jualan ini. Syabas kepada mereka.






 

Ps....  Maaf kepada mana2 pengunjung Taman lokan yang lepas. Kerosakan pada desktop dan laptop masih lagi belum selesai dibaiki dan banyak fail yang tidak dapat diselamatkan menyebabkan Ianya tidak dapat dipostkan di blog ini. 

Pokok Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) & Bakau Kurap (Rhizophora mucronata)

  Assalamualaikum dan selamat malam Di sini, saya akan nyatakan antara flora yang ada di Taman Lokan.  Kategori pertama merupakan tumbuhan a...