Memaparkan catatan dengan label Pengalaman Nelayan Sg. Rembau-Linggi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengalaman Nelayan Sg. Rembau-Linggi. Papar semua catatan

Rabu, 15 September 2010

Buaya








Seminggu sebelum Aidilfitri ketika Pak Zainal ingin menjala udang, Pak Zainal ternampak seekor buaya yang berada di tebing sungai. Pak Zainal terdengar bunyi lotong(cikah)-sejenis monyet bergayut di dahan berhampiran tebing sungai itu.

Pak Zainal berhenti menjala dan terus mengambil gambar. Buaya tersebut yang hampir sebesar tiang elektrik sedang memerhatikan gelagat monyet tersebut.

Kumpulan monyet tersebut mula membuat bunyi bising – mungkin member amaran kepada rakan yang lain bahawa ada buaya di situ… Pada masa yang sama, buaya mendongakkan kepalanya ke arah kumpulan monyet tersebut….

Monyet terus memanjat ke tempat yang lebih selamat.

Ular hijau/ ular daun



Pak Zainal terserempak dengan ular ini semasa sedang menjala... apa lagi... Pak Zainal tangkap gambar ular ini... menambahkan lagi koleksi gambar ular....

Ular jenis ini kelihatan jinak… Warna seakan-akan daun membuatkan penyamarannya sangat berkesan sehingga kita tidak dapat membezakan antara ular dan daun..
Ular ini seringkali dilihat di tepi sungai ( daun nipah) ketika ia ingin bersalin kulit.

Rabu, 25 Ogos 2010

Buaya




Sejenis lagi hidupan air yang terdapat di sungai ini ialah buaya. Nelayan pernah terserempak dengan 3 jenis buaya – buaya biasa-muncung pendek;buaya tembaga;buaya muncung panjang.

Selalunya buaya yang selalu ditemui adalah anak-anak buaya, dan buaya besar - sebesar tong dram dan kadangkala sebesar sampan hampir 16 ke 20 kaki panjangnya.

Buaya di sini adalah banyak dan pernah satu ketika dahulu pihak Majalah 3 membuat liputan mengenai buaya di sini. Mereka menganggarkan terdapat kira-kira 300 ekor ke atas buaya yang dapat dilihat daripada jambatan Tanjung Agas sehinggalah ke Sungai Timun.

Pada waktu malam menggunakan cahaya lampu suluh kita akan dapat melihat matanya bercahaya dan boleh diukur saiznya. Jika jarak di antara dua matanya rapat dan kecil maka ia adalah buaya yang bersaiz kecil. Tetapi jika jarak antara dua matanya jauh dan matanya besar maka saiznya pun besar.

Mengikut kajian, buaya di sini tidak begitu ganas kerana kawasan di sini mempunyai banyak makanan ( monyet, memerang, ikan, udang etc). Buaya paling pantang melihat monyet yang duduk di kawasan dahan rendah di tepi air sungai.

Nelayan selalu dapat melihat aksi buaya semasa sedang menangkap monyet. Di mana dengan sekali rembatan buaya akan dapat menangkap monyet tersebut.

Pak Zainal pernah sekali melihat buaya yang besar menangkap sekumpulan anjing liar(6 ekor)yang sedang berenang mengejar 2 ekor monyet ke arah tengah sungai. Sebelum sempat sampai ke tengah sungai, buaya tersebut berjaya membaham 4 ekor anjing dan 2 ekor lagi berjaya lari ke daratan manakala 2 ekor monyet tadi tidak kelihatan selepas itu.

Aksi sebegini adalah biasa bagi nelayan di sini.

Salah satu tanda buaya ada berhampiran ialah ketika monyet menjadi bising seolah-olah memberi amaran kepada kumpulannya dan air sungai akan berbau hanyir.

Ada juga ketika nelayan sedang memancing buaya telah menggigit sampan mereka kemungkinan nelayan telah mengganggu kawasan / habitat buaya semasa musim mengawan. ataupun buaya tersebut marah kerana telah diganggu.

Ada juga nelayan yg terjala buaya yang sedang berehat di dalam air. Tetapi buaya tidak bertindak agresif. Buaya cuma akan melarikan diri dengan membawa jala yang masih tersangkut di badannya.

Buaya ini mempunyai daya ingatan yang kuat apabila diganggu. Ia akan berdendam pada orang yang berniat jahat pada dirnya dan spesisnya.

Walaupun begitu, nelayan di sini masih tetap turun ke sungai untuk mencari rezeki. Begitulah uniknya perhubungan antara nelayan di sini dengan buaya sehingga pernah berjalan seiring antara buaya dan perahu di kawasan yang sama.


Hidupan lain di Sungai Rembau

Ada bermacam jenis ular yang mendiami kawasan Sungai Rembau-Linggi ini.

Di antaranya ialah ular tiung ini. Ular ini duduk di atas daun nipah/pokok bakau berhampiran tepi sungai ketika ia hendak bersalin kulit, waktu ia kenyang ( selepas memakan mangsanya )

Mengikut kata orang dulu-dulu ular ini boleh mengetahu perubahan cuaca iaitu ketika ribut atau banjir besar akan berlaku. Ketika ini ia akan duduk di tepi sungai.

Ular ini tidak agresif kecuali apabila diganggu.


Ular sawa batik secantik kulitnya….



Ia juga sama perangainya seperti ular tiung… kadangkala nelayan boleh terserempak dengan ke dua-dua jenis ular ini duduk dikawasan yang sama. Kemungkinan ia tidak memakan sama sendiri.



Ada juga nelayan terserempak dengan ular bakau. Ular ini seakan-akan ular kapak-kepalanya besar. Ular ini diantara ular berbisa dan agresif jika kita sentuh ( akan terus mematuk objek yang tersentuh badannya). Ular ini antara ular yang nelayan gerun bila melihat bentuk badan dan matanya yang merah.

Ular ini boleh dijumpai dimerata tempat dan paling kerap dijumpai kawasan pokok bakau kerana warnanya seakan akan warna pokok bakau dan sesuai untuk penyamarannya.

Ada lagi jenis ular yang ada di kawasan ini seperti ular daun/pucuk, ular air, ular tedung, ular buku tebu, ular sampah, ular hitam, dan lain-lain lagi.

Lokan





Lokan mudah didapati bagi yang mahir kerana saiznya yang lebih besar daripada lala dan ia duduk di permukaan tanah ataupun lumpur di kawasan paya bakau @ nipah.

Biasanya nelayan menggunakan parang ataupun pisau untuk mengais tanah bagi menentukan kedudukan lokan. apabila parang tersebut terkena pada kulit lokan,. ia akan mengeluarkan bunyi. Bagi yang mahir, hanya dengan melihat pada sekitar permukaan tanah nelayan tersebut akan dapat menentukan sama ada tempat tersebut ada lokan ataupun tidak.

Lokan juga duduk dalam kumpulan sehingga 30 kaki persegi yang mencecah 100 ekor ke atas.

Lokan terbahagi kepada 3 jenis:lokan nipah yang berwarna kehijauan dan bersaiz besar ( kebanyakannya 5 atau 6 ekor boleh mencecah satu kilogram ), lokan bakau kulitnya kehitaman yang bersaiz sederhana ( kebanyakannya 7 ke 10 ekor boleh mencecah hampir satu kilogram), dan lokan pasir yang bersaiz kecil dan warnanya sama seperti lokan bakau dan nipah ( 10 hingga 15 ekor boleh mencecah satu kilogram).

Harganya mengikut pada pasaran tempatan


Selasa, 17 Ogos 2010

Siput


Seperti yang dilihat dalam gambar, siput sedut ini banyak terdapat di kawasan sungai Rembau-Linggi ini.

Lokasinya berhampiran dengan habitat lokan dan lala. Kebiasaannya ia terdapat di kawasan air payau dan masin. Ia duduk bergantung di pokok-pokok bakau, nipah, dan berembang…. keunikan siput ini ialah ia akan naik ke atas apabila air pasang.

Saiz siput sedut ini tidaklah sebesar siput sedut di laut tetapi isinya lebih sedap. Siput sedut juga ada diternak di Taman Lokan ini dengan menggunakan sistem kelambu@jaring.Ini untuk memudahkan pengambilannya kerana keluarga Pak Zainal memang suka makan siput sedut terutama sekali cucu Pak Zainal, ..Zahirah

Siput terbahagi kepada dua jenis yang boleh dimakan dan yang tidak boleh dimakan.




Siput yang penutup di permukaan boleh dimakan manakala siput yang tidak mempunyai penutup tidak boleh dimakan tetapi boleh dibuat umpan rawai dan pancing… .

Siput timba ini boleh dimakan dan jika ia dimasak dengan betul caranya ia adalah lebih enak berbanding siput sedut. Dahulu ada yang membuat sate menggunakan isi siput timba ini.

Inilah antara siput yang terdapat di kawasan Taman Lokan ini....
Siput sedut, siput timba, dan siput yang tidak boleh dimakan.....

Menu di petang sabtu

 Sementara menunggu ecocruise ahad lepas, kami sempat masak mee magi dengan lokan. Ditambah pula dengan hirisan limau. Kemudian minum air ni...