Sabtu, 20 November 2010
Karnival Agro Institut Skill-Tech Melaka 2010
Ini adalah antara gambar yang sempat Pak Zainal ambil ketika Karnival Agro yang dianjurkan oleh Institut Skill-Tech dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam.
Terdapat banyak gerai pameran bahan-bahan pertanian dan ternakan. Pak Zainal mendapat jemputan mempamerkan produk iaitu lokan.
Sambutan amat menggalakkan. Ada pengunjung yang mencuba makan lokan mentah bersama dengan potongan ataupun air perahan nenas. Mereka berpuas hati dengan gerai Pak Zainal. Terdapat pengunjung yang berasal dari Sabah mengatakan bahawa di sana mereka makan lokan mentah bersama air perahan limau. Ala-ala sushi,( telur ikan diperah limau)..
Pak Zainal gembira kerana satu lagi cara pemakanan lokan yang mudah untuk disediakan.
Mengutip lokan untuk jualan
Ini gambar 3 orang sahabat yang datang ke Taman Lokan membantu Pak Zainal mengutip lokan untuk dijual.
Fendi, Azhar dan Hanif. Mereka amat seronok kerana pada masa itu lokan yang dikumpul oleh Pak Zainal banyak dan mudah diambil.
Isnin, 1 November 2010
Terima Kasih Daun Keladi
Pak Zainal amat berterima kasih dan berbangga dengan kunjungan kali ke dua Dato' Yaacob Bin Dato' Arshad, CEO DYA Corporation Sdn. Bhd, pada 30 Oktober yang lepas.
Pak Zainal dan pihak pengurusan Taman Lokan cuba untuk memberikan layanan yang sebaik mungkin.
Rombongan mereka yang terdiri daripada golongan profesional, doktor, amat bertenaga dan bersemangat inginkan pengalaman dan pengetahuan. Tetapi apakan daya, kita cuma merancang. Hujan turun pada pukul 4 petang. Ia mulai reda pada pukul 5 petang.
Ketibaan rombongan pada lewat petang menyukarkan Pak Zainal untuk berkongsi pengalaman. Pencarian lokan lebih mudah untuk diterangkan ketika hari masih siang dan ketika air surut. Pada masa itulah pengunjung akan dapat melihat dengan jelas penerangan Pak Zainal. Pengunjung juga akan dapat merasakan pencarian lokan dengan baik berbanding waktu malam yang agak bahaya bagi orang yang tidak biasa ke sungai. Pak Zainal juga risaukan keselamatan pengunjung yang datang pada waktu malam. Almaklumlah, ianya bukan kawasan kita ( manusia).
Pak Zainal merasakan kasihan pada mereka kerana tidak dapat melihat cara-cara pencarian lokan. Pak Zainal berharap agar mereka dapat datang lagi dan dapat merasakan pengalaman Pak Zainal mencari lokan. InsyaAllah
Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Melaka
Pada 24 Oktober yang lepas, Pak Zainal telah menyertai Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri Melaka. Ia diadakan di Dataran Air Keruh.
Pak Zainal berasa berbangga dapat melihat pelbagai hasil yang telah ditunjukkan. InsyaAllah Pak Zainal juga ingin menjadi setanding rakan-rakan lain yang telah berjaya.
Banyak yang Pak Zainal pelajari samada melalui perbualan dengan wakil Jabatan Perikanan mahupun melalui seminar ataupun perbentangan rakan-rakan.
Banyak jabatan dan sumber yang boleh digunakan untuk membantu projek. Cuma perlu diteliti kerana bantuan disalurkan dalam pelbagai bentuk, kewangan, peralatan, khidmat nasihat, dan lain-lain lagi. Pak Zainal juga bercadang ingin memohon bantuan untuk menaikkan taraf Taman Lokan dan ianya masih dalam proses mengasingkan keperluan yang paling penting.
Perkara pertama yang Pak Zainal lakukan selepas menghadiri program tersebut ialah menyenaraikan warga Taman Lokan. Iaitu keluarga Pak Zainal sendiri. Selama ini orang mengandaikan Pak Zainal bergerak sendirian. Padahal selama ini keluarga Pak Zainal banyak memberikan bantuan. Walaupun mereka tidak terlibat secara aktif di Taman Lokan,( disebabkan faktor kerjaya, masa dan keluarga), mereka banyak memberikan dorongan dan nasihat. Anak-anak Pak Zainal juga yang telah mereka blog ini.
Pak Zainal amat berterima kasih kepada mereka kerana sanggup bersabar selama ini. Isteri Pak Zainal memang amat risaukan Pak Zainal. Beliau suka mengingatkan Pak Zainal supaya melakukan kerja dengan teliti dan tidak secara "batuk di tangga". Bukan senang untuk menguruskan 3 kerja pada satu masa. Pak Zainal perlu mencari rezeki di sungai, menjaga HQ iaitu tempat latihan dan Taman Lokan. Tetapi, seperti kata orang lama ' di mana ada kemahuan, di situ ada jalan' . ini adalah hobi Pak Zainal dan disebabkan ia juga dapat memberikan kesenangan pada orang ramai kelak, Pak Zainal cuba menjadikannya realiti.
Ahad, 31 Oktober 2010
Tinjauan Jalan Darat ke Taman Lokan
Selain melalui jalan sungai untuk ke Taman Lokan, terdapat juga beberapa laluan darat yang boleh digunakan untuk sampai ke Taman Lokan.
Kami (pihak pengurusan Taman Lokan ) telah membuat tinjauan jalan darat yang sesuai untuk ke Taman Lokan. Pada kali pertama (21.10.2010) Pak Zainal telah berjaya memujuk anak sulung Pak Zainal,Azlina, supaya pergi ke Taman Lokan menaiki kereta ( Wira Sedan ). Anak Pak Zainal juga telah lama; hampir 14 tahun; tidak menjejakkan kaki ke sungai.
Tinjauan pertama ini menggunakan jalan yang tembus terus ke Taman Lokan. Ianya hampir 3.5km dari jalan masuk ( jalan raya ). Jalan ini melalui estet ( jalan kelapa sawit dan agak mengelirukan bagi sesiapa yang tidak biasa ). Ia juga hanya digunakan oleh kenderaan berat seperti lori mengangkut buah kelapa sawit.
Perjalanan pergi tidak banyak masalah kecuali mengagak laluan yang sesuai untuk mengelakkan terkena ekzos kereta.
Cucu-cucu Pak Zainal yang tidak pernah ke sungai memang tidak boleh duduk diam. Mereka menjelajah sekeliling kawasan Taman Lokan tanpa rasa was-was. Itulah pemikiran budak-budak. Mereka suka melihat Pak Zainal menunjukkan kawasan lokan. Ketika Pak Zainal memberikan penerangan, mereka banyak menanyakan soalan sampailah mereka faham. Contohnya permukaan lumpur bergaris menandakan lokan berada betul-betul di permukaan dan lain-lain lagi.
Perjalanan pulang agak merbahaya. Anak Pak Zainal tidak biasa memandu di kawasan jalan kelapa sawit jadi dia terlalu berhati-hati ( terlalu perlahan). Ketika ingin menaiki bukit, kereta anak Pak Zainal mengalami masalah, tetapi, Alhamdulillah anak Pak Zainal tidak panik dan berjaya mengawal keadaan. Memang risau betul Pak Zainal ketika itu.
Tinjauan ke dua diketuai oleh anak lelaki Pak Zainal, Mohd Azlan pada 30 Oktober ( hari Sabtu lepas). Dia memandu kereta kakaknya ( anak Pak Zainal yang sulung ). Mereka ( Azlina, Azlan, isterinya dan Raudha-anak Azlina) ingin membantu Pak Zainal di Taman Lokan.
Mereka telah menaiki kereta melalui jalan masuk yang sama kecuali pada kali ini mereka mengikut jalan lain yang tembus ke Tebing Urut iaitu kawasan nelayan di sini menaikkan hasil tangkapan mereka. Jalannya lebih dekat dan tidak berbukit cuma agak bahaya ketika musim hujan kerana lopak air akan menyebabkan kenderaan sukar bergerak.
Apabila sampai di Tebing Urut, perlu menaiki sampan ke Taman Lokan. Jika menggunakan enjin, perjalanan cuma mengambil masa 1 hingga 2 minit. Tetapi jika mendayung, ianya mengambil masa 5 minit, bergantung kepada keadaan air dan muatan bot.
Anak-anak Pak Zainal menyatakan laluan ke dua iaitu melalui Tebing Urut lebih sesuai kerana mereka dapat merasakan pengalaman menaiki dan mendayung sampan.
Isnin, 18 Oktober 2010
10.10.2010
Pada ahad 10.10.2010 Pak Zainal dan kumpulan Persatuan Perajurit Kawasan Masjid Tanah telah bersama-sama menghadiri Perhimpunan Raksaksa Bekas Perajurit Seluruh Malaysia bersama dengan Perdana Menteri kita.
Pak Zainal begitu berbangga kerana jasa bakti dihargai.... Selain itu Pak Zainal juga dapat berjumpa kembali dengan rakan-rakan lama... terutamanya Pak Jo daripada 17 Melayu Diraja yang cedera akibat jerangkap samar komunis. Ini mengimbau kembali kenangan lama... suka duka , pahit manis semasa dalam 17 dan 22 Melayu Diraja (RAMD)...
Pak Zainal juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Rembau Negeri Sembilan. Pak Zainal juga bersyukur kerana walaupun bas rombongan rakan bekas perajurit dari Johor yang menaiki bas JKM tidak mengalami kecederaan...
Melaka Maju 2010
Pada malam ahad yang lepas, Datuk Yaakub Arsyad dan keluarga beliau yang mengikuti pakej pelancongan PD Travel & Tours ( Safari ) telah melawat Taman Lokan... Beliau yang merupakan seorang executive di Kuala Lumpur telah berkesempatan melihat bangau dan keindahan sungai serta melihat aktiviti nelayan memancing dan menjala udang dengan secara lebih dekat lagi.
Saya amat berbesar hati apabila isteri beliau banyak memberi dorongan dan idea bagi mengindahkan lagi Taman Lokan ini. Walaupun prasarana di sini masih serba kekurangan, beliau sekeluarga berpuas hati dengan hasil kerja dan layanan yang diberikan... Terima kasih daun keladi..
Saya amat beruntung apabila semakin ramai golongan elit yang berkunjung ke Taman Lokan. Berbaloi segala usaha yang saya lakukan selama ini... Mudah-mudahan saya akan dapat pengiktirafan oleh badan yang berwajib bagi membantu saya dalam mengetengahkan hasil sungai terutama lokan sejajar dengan hasrat Ketua Menteri Melaka "Melaka Maju 2010"... Sebagai nelayan yang kerdil dan kurang berkemampuan, saya juga tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyumbang ke arah merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Melaka...
Langgan:
Catatan (Atom)
Menu di petang sabtu
Sementara menunggu ecocruise ahad lepas, kami sempat masak mee magi dengan lokan. Ditambah pula dengan hirisan limau. Kemudian minum air ni...
-
Udang ini selalu berpecah semasa musim banjir / keruh…. Ia akan berkumpul apabila kemasinan air tinggi – air mati 5 ke 8 haribula...
-
khasiat ketam nipah yang ramai orang tidak ketahui.... Ketam rendah kalori (hanya mengandungi sekitar 85 hingga 90 setiap 100g kalori (be...