Telefon : 017-6735229

Jumaat, 26 November 2010

23 November 2010 - Blog

Penggambaran pada hari ini berkisar kepada proses pembikinan blog dan rendang lokan serta hobi Pak Zainal. ( meniup seruling )

Pembikinan Blog
Saya seorang yang suka bekerja di belakang tabir dan bukan seorang yang fotogenik serta malu. Oleh itu saya memang rasa tertekan apabila Pak Zainal (abah) menyatakan pihak TV3 ingin menemuramah saya. Demi abah, terpaksa juga saya gagahi diri ini. Saya dan anak sulung saya, Raudha, di minta membuat lakonan semula kami sedang updatekan blog. Anak saya mengejek saya kerana takut dan malu. Tetapi, apabila krew TV3 menyatakan bahawa rakan-rakannya akan melihatnya di kaca tv, anak saya terus kaku. Barulah anak saya tahu apa yang saya rasakan.

Sejak kecil, kami adik tiga beradik telah menyaksikan emak dan abah bertungkus lumus menyara keluarga dengan melakukan pelbagai kerja ; askar, penoreh getah, pekerja kilang, petani, nelayan, pekedai, jaga sekolah, tukang kebun sekolah. Mak dan abah telah banyak berkorban untuk kami.

Alhamdulillah kami berjaya dalam bidang kami dan kami cuba membantu mak dan abah. Abah pula sudah lama risau mengenai kuantiti hasil sungai terutamanya lokan di Sungai Linggi-Rembau sebab itu dia tetap dengan projek lokannya walaupun menempuhi pelbagai rintangan.

Pengaruh emak yang selalu menonton National Geographic membuatkan kami merasakan Taman Lokan adalah satu usaha yang baik. Kita sering mendengar dan melihat kolam udang galah, sangkar ketam, kolam ikan, kupang, kerang, yang diternak tetapi usaha menternak lokan bagi saya masih kurang.

Biarlah orang selalu menyatakan abah tidak berjaya kerana Taman Lokan yang tidak seberapa. Tetapi semangat abah untuk menyedarkan orang lain tentang kepentingan lokan dalam ekosistem memang tidak dapat disangkal lagi. Bagaimana seekor anak tupai ( seperti lagu tupai -Halim Yazid) penting, begitulah dengan lokan. Allah menciptakan semuanya dengan ada tujuan dan semuanya berkait rapat antara satu sama lain.

Kami anak-anak sibuk dengan kerjaya dan keluarga sendiri. Kami tidak dapat membantu abah di Taman Lokan ditambah pula cerita abah mengenai buaya dan ular menakutkan kami untuk ke sungai. Oleh itu, saya bersetuju untuk membantu membuat blog abah dengan syarat bahan disediakan oleh abah sendiri. Keluarga dan rakan juga tahu saya memang kaki komputer.

Saya pernah mengikuti pembinaan laman web menggunakan dreamweaver pada tahun 2000 dan memenangi pertandingan mencipta laman web Sekolah Pendidikan Khas bagi Kawasan Selangor. Tetapi mencipta blog adalah berlainan. Saya terpaksa belajar sendiri dengan mencedok idea dari blogger lain dan bertanya rakan-rakan yang mahir IT. Pengetahuan dalam bahasa inggeris sememangnya memudahkan lagi kerja saya. Abah selalu akan datang ke rumah membawa kamera dan saya akan menyimpan gambar-gambar ke dalam folder yang khas untuk abah. Abah pula akan menceritakan perihal gambar-gambar tersebut dan kami akan mereka ayat yang sesuai.

Jika saya sedang sibuk,. Raudha akan menaip sementara abah bercerita. Ini adalah satu latihan yang bagus bagi anak saya yang berada di Tahun satu tahun ini. Dia secara tidak langsung akan dapat meningkatkan kemahiran bahasanya.

Banyak idea abah untuk blog ini sebenarnya dan akan kami usahakan mengikut kemampuan kami. InsyaAllah.

0 comments: