Telefon : 017-6735229

Khamis, 31 Mac 2011

Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA) ke Taman Lokan

Pak Zainal dan anak buah, Din, serta Mokhtar, melayan tetamu terbaru Taman Lokan yang terdiri daripada kumpulan Matta Negeri Sembilan dan pengerusi Matta Malaysia, Datuk Khalid serta kakitangannya. Mereka seperti biasa dibawa oleh PD Travel & Tours.
Anak buah Pak Zainal, Din dan Mokhtar cuba menimba pengalaman dan secara tidak langsung diharapkan mereka boleh menjadi pelapis Pak Zainal.
Pak Zainal banyak mendapat pandangan dan idea daripada Datuk Mohd Khalid dan rombongannya. Seperti biasa mereka dapat merasai lokan dan udang bakar. Cuma Pak Zainal berasa terkilan kerana mereka tidak dapat merasai keenakan buah nipah. Ini kerana kebanyakkan buah nipah samada telah tua ataupun terlalu muda. Walaubagaimanapun, Pak Zainal dapat juga memberi mereka merasa air nipah ( daripada buah nipah yang muda).  Seronok melihat keinginan mereka merasa air nipah tersebut.
Ular tiung berjaya memikat hati pelawat-pelawat. Ada yang suka,  dan teruja, ada juga yang geli-geleman apabila melihat ular tersebut.




MESYUARAT AGUNG KE 26 PERSATUAN NELAYAN MELAKA BARAT





Mesyuarat Agung Persatuan Nelayan Melaka Barat telah dijalankan lebih kurang pada pukul 11.00 pagi bertempat di Dewan Persatuan Nelayan Melaka Barat. Ia telah dirasmikan oleh Pengarah LKIM Melaka, Tn. Hj. Bahrain.

Ia banyak membincangkan hal ehwal nelayan setempat. Antara topik perbincangan yang hangat ialah usul nelayan mengenai penutupan sungai yang sedikit sebanyak telah menjejaskan mata pencarian nelayan. Rata - rata nelayan berpuas hati dengan usul tersebut.Semoga dengan usul tersebut, pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah yang telah berlanjutan hampir 1 tahun. Pak Zainal juga berharap habitat flora dan fauna di sini akan dapat membiak dengan baik dan sekaligus akan dapat menjamin keseimbangan alam.

Isnin, 28 Mac 2011

Tembok Lokan

Pak Zainal mempunyai idea baru menggunakan kulit lokan. Sejak 3 hari yang lepas, Pak Zainal telah meminta bantuan seorang adik saudara Osman Bin Main dalam projek terbaru Pak Zainal ini. 

 
Cucu memantau hasil kerja Pak Zainal   "Atuk, letak elok-elok.. "





Pemantauan kualiti oleh cucu

Pak Zainal ingin menaikkan taraf “Teratak Agro” dengan membina tembok menggunakan kulit lokan sebagai hiasan atau tema. Pak Zainal berasa puas hati kerana walaupun pada awalnya ramai ( orang yang arif dalam bidang pembinaan ) yang memberikan teguran dan kriktikan yang negatif.  Pak Zainal mempunyai idea yang memang lain dari kebiasaan dan bukan semua orang boleh terima idea Pak Zainal.  Walaupun sekarang ianya masih lagi dalam proses pembinaan tetapi orang ramai sudah mula nampak apa yang ingin Pak Zainal tonjolkan – satu idea yang unik. Tidak mustahil sekiranya ada yang ingin melihat hasil kerja Pak Zainal dan mungkin ada juga yang akan menempah kulit lokan bagi idea yang sama.

Projek Anak angkat Uitm Kampus Bandar Melaka

26 dan 27hb yang lepas, Kg. Paya Lebar membuat program anak angkat di bawah anjuran Mas Ermieyati Binti Samsuddin (Puteri Umno ) dan Syed Fauzi Bin Karim (Pemuda Umno) Kg. Paya Lebar. Semakin bertambah aktiviti untuk menaikkan nama kampung sejak mereka mengendalikan organisasi mereka. Tahniah diucapkan dan semoga kampung Paya Lebar akan mendapat satu produk yang boleh penduduk kampung jalankan. Seperti mana yang dapat dilihat di setiap kampung yang mempunyai projek anak angkat akan dapat memberikan hasil lumayan kepada penduduk kampung untuk menambahkan pendapatan mereka.
   
 

Projek anak angkat ini Malam Kebudayaan OPKIM Perdana 2011. Terima kasih kepada Amy dan Fauzi kerana telah membantu menaikkan Taman Lokan. Mereka telah menjamu tetamu dengan lokan bakar. Pak Zainal tidak sangka kerana sebelum ini aktiviti anjuran kampung sebelum ini tidak pernah mengetengahkan lokan sebegini. Mungkin Amy dan Fauzi nampak lokan sebagai tema / keunikan yang boleh ditonjolkan oleh kampung Paya Lebar dan Dun Ayer Limau. Mereka juga dapat melihat persembahan daripada peserta-peserta dan anak-anak muda Kampung Paya Lebar. Untuk pengetahuan pembaca, anak-anak muda kami telah ada yang cuba mencipta nama dalam bidang hiburan terutama sekali dalam program realiti mencungkil bakat dalam bidang nyanyian.  Perserta juga bertuah kerana berpeluang beramah mesra dengan YB Tn. Hj. Amiruddin Bin Yusuf Wakil Rakyat Dun Ayer Limau yang sanggup meluangkan masa datang meraikan Program Anak Angkat Kampung Paya Lebar ini. Terima kasih YB.




Uniknya Taman Lokan ini boleh dikunjungi dengan berjalan kaki kerana ianya tidak berapa jauh dari kampung Paya Lebar terutama sekali dari masjid Paya Lebar yang baru di bina. Ianya lebih kurang 1.7km sahaja. Memang sesuai bagi aktiviti Riadah. Begitulah yang terjadi dengan peserta dari Uitm Kampus Bandar Melaka.  Mereka berjalan dalam masa hanya 15 minit dari Balairaya Paya Lebar sehingga ke Tebing Urut. Ada peserta yang mengajukan cadangan agar satu jalan dibina untuk menghubungkan Pengkalan Tebing Urut ke Taman Lokan bagi pengunjung yang takut menaiki jalan air ( menaiki sampan ).
Pak Zainal memang ada beberapa cadangan tetapi memandangkan kekurangan dana dan masih terlalu awal kerana banyak lagi proses penambahbaikkan yang perlu dijalankan di Taman Lokan.
Pak Zainal juga berterima kasih kepada peserta kerana membantu Pak Zainal dalam aktiviti gotong royong mereka membersihkan Taman Lokan. Mereka memang bersemangat dalam aktiviti mencari lokan. Semua berebut-rebut ingin merasai pengalaman mencari lokan. Peserta-peserta berkata “patutlah pelancong-pelancong suka ke Taman Lokan kerana ianya menarik”.
Pada hari ini juga peserta bertuah melihat dan merakamkan ular tiung (tali pinggang Raja Sulaiman ) dan ular sawa  batik yang seolah-olah menantikan kedatangan peserta-peserta. Mereka juga dapat melihat Pak Zainal mengangkat lukah / bubu yang baru sahaja Pak Zainal letakkan. Jika ianya dibiarkan lebih lama, makin banyak hasil tangkapan. Inilah salah satu produk yang boleh pengunjung jalankan. 





Pengurus hotel dan chalet


25hb yang lalu, seramai 35 org wakil pengurus hotel dan chalet melalui PD Travel & Tours telah ke Taman Lokan. Pada kali ini Pak Zainal telah dibantu oleh Abg Din dan Abg Mokhtar (anak buah Pak Zainal ).
Pada kali ini mereka bertuah kerana dapat merasa buah nipah. Pengunjung dibawa melawat Taman Lokan seperti biasa.


 Semoga mereka akan balik dengan membawa idea baru ataupun menu baru untuk hotel dan chalet mereka.  Selain dari itu, mereka dengan secara tidak langsung dapat memberikan idea bagi penginap – penginap untuk mengikuti River Safari di bawah PD Travel & Tours dan  ke Taman Lokan.

   

Ahad, 20 Mac 2011

Sukan Kolej Komuniti 2011





Sejak beberapa hari yang lepas, internet kurang memuaskan. Oleh itu, Pak Zainal tidak dapat menyelitkan gambar dalam blog. Mudah-mudahan minggu ini gambar-gambar tersebut akan dapat dimuat turun dengan mudah.
18hb Mac hingga 20hb Mac 2011 Pak Zainal dan Pakcik Din serta anak-anaknya berniaga makanan di Kolej Komuniti Tinggi Mara yang bertempat di Ramuan China Besar. Ia bersempena pertandingan Sukan antara Kolej Komuniti di Malaysia ini.  Gerai ini adalah percubaan pertama KPSP untuk menceburkan diri dalam perniagaan bagi mendapatkan modal serta meluaskan publisiti bagi hasil nelayan setempat.
Pada hari pertama, isteri Pak Zainal telah menyediakan nasi impit dan rendang lokan serta sambal udang. Mungkin kerana kekurangan penonton ,gerai pula banyak, dan ia merupakan penghujung bulan( poket sudah nipis) hasilnya kurang memberangsangkan.
Namun begitu, pelanggan tetap berkunjung di gerai kami apabila kami menjual ikan bakar pada malamnya. Pak Zainal kagum dengan Pak Din dan anak-anaknya yang gigih berniaga. Pak Zainal tidak melepaskan peluang membekalkan lokan. 
Pak Zainal akan menjadikan pengalaman ini sebagai satu pengajaran. Selepas ini Pak Zainal akan bekerjasama dengan rakan-rakan dan keluarga bagi mempromosikan masakan lokan dalam aspek perniagaan.