Telefon : 017-6735229

Isnin, 19 September 2016

Aktiviti Hari Malaysia ~ 1

Pada 16hb September yang lepas, kami ( saya, 3 orang anak saya ), menyambut Hari Malaysia bersama Pak Zainal di Taman Lokan. Kali ini, kami bertolak daripada Pengkalan Nelayan Paya Lebar.

Untuk pengetahuan para pembaca, terdapat 3 cara untuk ke Taman Lokan iaitu jalan darat terus ke Taman Lokan, dari Pengkalan Tebing Urut, dan dari Pengkalan Paya Lebar. Kami selalunya mengikut jalan darat dan Pengkalan Tebing Urut. Ini kerana saya terlalu memikirkan cerita - cerita Pak Zainal mengenai kehadiran buaya di sungai. Baru - baru ini, adik saya dan Pak Zainal telah menyaksikan buaya sedang membaham seekor monyet ketika mereka sedang memancing ikan pada bulan yang lepas. Malah, ketika saya sedang menulis post ini, Pak Zainal menyatakan hari ini terdapat seekor buaya berdekatan Pengkalan Tebing Urut dan Taman Lokan.

Namun, kali ini Pak Zainal dan anak - anak berjaya memujuk saya bertolak dari Pengkalan Paya Lebar. Pada pagi itu, terdapat beberapa nelayan yang berada di Pengkalan. Salah seorang daripada mereka ialah Pakcik Ram yang sempat bergurau mengenai Pak Zainal yang ingin mengayuh bot sambil mengikut arus air.

Keadaan air yang bersih daripada bahan buangan manusia sememangnya menenangkan perasaan. Ditambah pula dengan bunyi alam yang menemani kami disepanjang perjalanan ke Taman Lokan. Sang cengkerik mengalunkan irama merdu membuatkan saya teringat kenangan zaman kecil sebelum rumah di penuhi dengan bunyi televisyen dan kenderaan. Gabungan bunyi air surut yang berlumba - lumba untuk menuju ke laut sambil dihalang oleh daun dan bahagian pepohon, beberapa unggas seperti helang, raja udang, bangau, dan lain - lain lagi, dan kawanan monyet yang menemani kami merupakan daya tarikan yang tidak dapat dilupakan.

Air yang mula surut membantu melancarkan perjalanan kami. Tetapi, hati - hati kerana air yang surut ini boleh membuatkan kita tidak dapat mengawal perahu dan bot dengan baik. Kami tidak dapat mengambil gambar seekor ular yang berada di dahan pohon duri onak kerana air yang laju.


Duri onak ataupun duri anak merupakan pohon yang perlu dijauhi. Ini kerana ia mempunyai duri yang boleh merosakkan pakaian dan melukakan badan kita. Terdapat beberapa insiden di mana beberapa pelancong yang pernah menaiki bot luka kerana mereka terpegang pohon tersebut ketika bot sedang laju. Mesti sakit..



Perjalanan yang lambat memang tidak disenangi oleh anak - anak saya. Mereka tidak menyukai suasana sunyi seperti saya dan Pak Zainal. Walaupun mereka mendengar penerangan Pak Zainal mengenai flora dan fauna di sepanjang perjalanan, mereka lebih suka cepat sampai ke Taman Lokan.
Terdapat pokok buta - buta, pokok bakau, berembang dan yang pelik ialah buah pelir kambing, Menurut Pak Zainal, buah pelir kambing ini boleh dimakan oleh manusia terutama sekali dibuat halwa. Namun, ia amat merbahaya kepada binatang yang berkaki empat. Dikatakan bahawa ia memberikan kesan negatif pada bahagian pinggang haiwan tersebut sehingga boleh mengakibatkan kematian. Saya tidak dapat mengambil gambar pokok tersebut kerana arus yang laju.

Pak Zainal membawa kami ke jalan pintas. Jalan pintas / terusan tersebut memang sempit. Pak Zainal menyatakan perahu besar kami masih boleh melalui terusan ketika itu kerana air masih belum surut lagi. Saya tidak dapat membayangkan apa yang perlu kami lakukan sekiranya bertembung dengan perahu lain.  Saya boleh bayangkan bagaimana situasi ular yang jatuh ke dalam perahu. Dahan pokok betul - betul di atas kepala dan kebanyakan masa diambil untuk menolak dahan yang hampir ke arah kita. Namun apabila Pak Zainal menunjukkan ular yang ada, kami tidak berani memegang dahan - dahan itu lagi.

Selain daripada itu, anak - anak mengeluh kerana mereka terpaksa bertarung dengan puluhan nyamuk sepanjang terusan itu. Akhirnya kami tiba di sungai dan sampailah kami ke destinasi kami iaitu Taman Lokan. Anak - anak terus bermain ketika sampai di daratan. Saya pula menarik nafas lega kerana selamat sampai.



Selasa, 6 September 2016

Lintah bulan

3 minggu lepas, Pak Zainal dan cucu-cucu memenuhi jemputan kenduri kahwin anak Puan Normah, guru Besar Sekolah Kebangsaan Ramuan China Besar.
Kemudian, kami singgah ke Muara Sg Linggi bersebelahan Balai Polis di sana..

Pak Zainal mengambil peluang itu untuk mencari lintah bulan laut.
Lintah bulan laut ini dikatakan antara spesis gamat laut tetapi ianya khas untuk dibuat umpan pancing atau gawai.

Pada mulanya, kami anak beranak geram kerana tidak dapat mengecam lintah bulan laut.  Manakala Pak Zainal pula dapat menangkap beberapa ekor lintah bulan laut dengan mudahnya.
Namun, setelah Pak Zainal memberikan beberapa tips untuk mencari lintah bulan laut ini, kami berjaya pulang dengan beberapa ekor lintah bulan laut. Sungguh puas apabila berjaya mengecam lintah bulan laut disebalik penyamarannya.

Ini adalah laman yang menceritakan perihal lintah bulan laut ini dengan lebih terperinci..
zulkiffleeh.blogspot.com 



Dapatkah anda mencari lintah bulan laut d dalam gambar ini? Badannya yang berbatu-batu dan berbeza dengan batu yang sebenar


nyaman dan luas pemandangan

Pak Zainal telah melihat lintah bulan laut di situ.

Siput yang ada di sini

Kami pelik dengan banyaknya benda - benda bulat seakan telur - telur di sepanjang pantai ini.  Untuk info, terdapat seekor lintah bulan di dalam gambar ini. Selamat mencari. :)

Mungkinkah telur-telur di gambar di atas merupakan telur siput ini?


Lintah bulan laut .... tips.... di atas batu
Semoga terhibur dan mendapat info menarik.