Telefon : 017-6735229

Rabu, 15 Disember 2010

Norman Kru dan SDSI

SDSI banyak memberikan kenangan manis kepada Pak Zainal dan keluarga. Cucu-cucu Pak Zainal amat teruja dengan setiap booth pameran. Kami sekeluarga tidak terlayan dengan sikap ingin tahu dan keletah mereka. Mereka akan mencuba hampir setiap makanan dan minuman yang ada dan mereka akan leka melihat demo tarian, dan juga kraftangan yang ada. Aiskrim (nipah, mangga), biskut nenas, strawberi dan sate ikan adalah antara menu yang menjadi kesukaan mereka. SDSI membuatkan mereka tidak jadi balik ke kampung dan mereka menjadi pengunjung tetap SDSI. Ini kerana 3 hari baru mereka habis melawat semua booth di dalam dan di luar dewan MITC. Oleh kerana kamera telah rosak, kami tidak dapat mengambil gambar mereka. Tetapi, kita boleh lihat gambar-gambar SDSI di sini: blog  http://sayangmelaka.blogspot.com
Isteri Pak Zainal seperti juga wanita-wanita lain suka membandingkan kualiti, dan harga setiap barangan yang dibeli. Namun apa yang Pak Zainal perhatikan, beliau amat sukakan barangan buatan Malaysia. Beliau sering ke Mydin kerana di sana banyak pilihan barangan keluaran usahawan Malaysia. Lagipun rumah anak Pak Zainal berhampiran dengan pasaraya tersebut. Siapa lagi yang dapat menyokong saranan kerajaan supaya memilih barangan tempatan selain penduduk Malaysia sendiri?. Pak Zainal bangga kerana menjadi salah seorang pengguna Barangan Buatan Malaysia dan penyokong IKS.  
Pak Zainal amat tertarik dengan ucapan yang diberikan oleh Norman Abdul Halim ( Norman KRU ) mengenai pengalaman beliau di dalam menjadi seorang usahawan.
Beliau menyatakan beliau banyak mendapat tentangan dan pandangan negatif daripada ramai pihak.Pelbagai rintangan dan kesukaran yang perlu ditempuhi bagi mencapai kejayaan yang dikecapinya sekarang ini. Keluarga merupakan sumber kekuatan kejayaan tersebut.Rasanya inilah yang semua orang akan alami dalam menaiki tangga menuju kejayaan.
   
Itulah yang sebenarnya dialami oleh Pak Zainal. Sokongan moral keluarga memang menjadi pendorong Pak Zainal selama ini. Seperti yang Pak Zainal selalu nyatakan kepada anak-anak "Nak berjaya bukannya senang." Memang ada beberapa ketika Pak Zainal berasa lemah dan tidak berdaya. Tetapi Alhamdulillah keluarga banyak memberikan sokongan moral. Tidak kira keluarga sebelah Pak Zainal mahupun di sebelah isteri Pak Zainal.
Pak Zainal sudah semakin hampir menjadikan lokan dikenali ramai. Sekarang Pak Zainal ingin menambahkan bilangan stok lokan. Ini kerana Pak Zainal dapati tahap reproduktif ( pembiakan ) lokan di Taman Lokan agak kurang  berbanding dengan lokan liar. Mungkin kerana Pak Zainal sering mengganggu habitat mereka semasa memberikan demonstrasi kepada pelancong.
Oleh itu, Pak Zainal akan membahagikan kawasan lokan kepada beberapa bahagian agar dapat mengasingkan kawasan pengumpulan stok benih dengan kawasan khas untuk demonstrasi kepada pengunjung Taman Lokan.

Sabtu, 11 Disember 2010

Saksikan Nelayan Blogger (Za'im) dan Kembara Sukau (Nurul Syuhada),Majalah 3

Pada pukul 9.30 malam tadi Kisah Pak Zainal keluar Majalah 3.

Tak larat menjawab panggilan dan menjawab sms. Terima kasih kerana bagi sokongan. Terutama sekali rakan-rakan yang sudi menjadi follower blog ini....

Saya masih lagi baru dengan pembinaan blog ini. Masih banyak kekurangan. Terima kasih kepada Inspirasi Ahmad Zaki kerana memberi cadangan ruangan komen. Saya akan cuba usahakan.

Pak Zainal mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak TV3 kerana telah berjaya dalam pembinaan kisah Nelayan blogger ini. Tidak sangka sambutan begitu menggalakkan. Blog pun makin ramai pengunjung.

Pak Zainal pergi mengikut rombongan pengantin di Muar pagi tadi. Pak Zainal sempat melawat pameran 1 Daerah 1 Industri 2010 di MITC. Cucu-cucu Pak Zainal seronok melihat kepelbagaian industri oleh semua negeri di Malaysia ini.

Pak Zainal berdoa agar ada pengusaha makanan yang dapat mengetengahkan lokan sebagai pemakanan negara.