Telefon : 017-6735229

Ahad, 26 September 2010

Kunjungan Kumpulan Tadika Little Caliphs




Pada pukul 11pg tadi sekumpulan murid-murid daripada Kumpulan Tadika Caliphs Selangor antaranya ; TTDI Jaya, Setia Alam, Ilatinum, Damai, dan Kota Damansara).
Seramai lebih kurang 60 orang murid dan guru menyertai lawatan sambil belajar melalui PD Travel and Tours / Safari.
Mereka turun / menaiki bot daripada Pengkalan Syah Bandar Lubok China sampai ke Taman Lokan. Di sini mereka dapat mengenal lokan dan buah nipah dengan lebih dekat lagi... ada daripada peserta dapat merasa keenakan buah nipah yang di belah oleh Pakcik Zainal. Buah nipah isinya lembut sangat sedap di makan. Seronok Pak Zainal meliahat telalath murid-murid tadika tersebut semasa berebut menunggu giliran merasa buah nipah...
Kemudian mereka kembali ke Pengkalan Syahbandar dan mereka dijamu dengan makanan sungai; udang galah, barai goreng berlada, sambal tempoyak dan cencaluk.. Ada cikgu yang sempat membeli lokan..

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar..... Insya-Allah Pak Zainal akan menambahbaikkan prasarana di sini....

Khamis, 23 September 2010

Udang Bubuk / Udang langgai / udang sayur




Udang ini selalu berpecah semasa musim banjir / keruh…. Ia akan berkumpul apabila kemasinan air tinggi – air mati 5 ke 8 haribulan dan 25 – 28 hb setiap bulan. Pada aktu ini ia akan menjadi satu kumpulan besar sehingga 50-60 kilo…
Apabila ini berlaku, nelayan akan turun ramai-ramai seperti pesta. Seorang nelayan boleh menjala sekitar 5kg se atas. Pak Zainal juga pernah mendapat 10kilo ke atas.Adakalanya sekali tebar boleh mencecah setengah kilo. Saiz udang ini sebesar jari.



Biasanya udang ini akan susah didapati apabila air bertukar jernih. Kemungkinan besar ia menjadi makanan pemangsa.
Ia dijala menggunakan tali jala yang panjang kerana ia duduk dikawasan yang lebih dalam sehingga ke kedalaman 20 – 30 kaki. Ia juga banyak ditemui berhampiran Taman Lokan. Selalunya tiada tangkapan udang lain di kawasan kumpulan udang ini kerana kemungkinan dengan saiz yang banyak, udang lain takut untuk mencari makanan di situ.



Udang ini sesuai juga untuk dibuat umpan pancing…. Ada seorang pelanggan Pak Zainal – Hj Lias (kaki pancing) daripada Berisu suka menggunakan udang ini sebagai umpan. Beliau selalu mendapat ikan yang baik. Semalam beliau mendapat ikan kurau dan ikan siakap.


Udang ini yang dibuat sate raya ke - 5 tempohari.


Luahan hati seorang anak

Assalamualaikum,.... Selamat bertemu..

Selama ini saya yang menulis blog berdasarkan apa yang diberitahu oleh abah ( ayah saya ), Pak Zainal....
Minggu ini hampir setiap hari hujan beserta kilat dan petir..... Dalam keadaan ini saya terfikirkan abah.... Di mana abah?.... Basahke?... Berteduhke?... Banyak yang bermain dalam fikiran saya...
Risau....


Sebagai seorang anak yang risaukan keselamatan ayahnya,... saya selalu mengingatkan abah supaya banyak berehat di rumah..... tetapi apabila melihat beliau begitu bersungguh-sungguh dan minat dengan aktivitinya di sungai,.... saya hanya boleh mengingatkan beliau supaya berhati-hati....

Teringat kenangan lampau ketika saya masih di bangku sekolah ( sekolah menengah )... pada musim tengkujuh ( hujan beserta kilat dan petir ),.... abah suka ke sungai pada waktu malam....
Dahulu pada waktu malam ada kerbau yang selalu berkubang berdekatan sawah rumah kami..... Ketika malam waktu hujan beserta kilat dan petir kerbau selalu berbunyi.... dan bagi saya yang sedang risaukan abah, bunyinya seakan-akan orang mengerang / meminta tolong..... Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu....

Sampai sekarang saya masih risaukan abah.....
Saya faham niat murni abah dalam memastikan lokan di Sungai Linggi-Rembau ini terpelihara..Saya juga tidak mahu melihat Sungai yang menjadi punca rezeki kepada semua nelayan di sini terjejas...
Saya dan adik hanya dapat membantu abah membina blog ini. Saya telah lama tidak menjejakkan kaki ke sungai.... hehehe... TAKUT... lagipun anak-anak dan kerjaya membuatkan saya sibuk.

Khamis, 16 September 2010

kerusi urut




Pada pukul 4 petang semalam ( 5 hari raya),.. terdapat sekumpulan pelancong tempatan telah melawat Taman Lokan. Mereka mencuba duduk di kerusi urutan badan yang diperbuat daripada kulit lokan.. Ini idea Pak Zainal… Selalu kita dengar urutan kaki…

Pak Zainal selalu sakit pinggang selepas bekerja … apabila mencuba Pak Zainal terasa lega. Oleh itu Pak Zainal teruskan usaha membuat dan memperbaiki kerusi urutan tersebut .

Pengunjung juga mengatakan ianya melegakan dan berkesan.

Rabu, 15 September 2010

Buaya








Seminggu sebelum Aidilfitri ketika Pak Zainal ingin menjala udang, Pak Zainal ternampak seekor buaya yang berada di tebing sungai. Pak Zainal terdengar bunyi lotong(cikah)-sejenis monyet bergayut di dahan berhampiran tebing sungai itu.

Pak Zainal berhenti menjala dan terus mengambil gambar. Buaya tersebut yang hampir sebesar tiang elektrik sedang memerhatikan gelagat monyet tersebut.

Kumpulan monyet tersebut mula membuat bunyi bising – mungkin member amaran kepada rakan yang lain bahawa ada buaya di situ… Pada masa yang sama, buaya mendongakkan kepalanya ke arah kumpulan monyet tersebut….

Monyet terus memanjat ke tempat yang lebih selamat.

Ular hijau/ ular daun



Pak Zainal terserempak dengan ular ini semasa sedang menjala... apa lagi... Pak Zainal tangkap gambar ular ini... menambahkan lagi koleksi gambar ular....

Ular jenis ini kelihatan jinak… Warna seakan-akan daun membuatkan penyamarannya sangat berkesan sehingga kita tidak dapat membezakan antara ular dan daun..
Ular ini seringkali dilihat di tepi sungai ( daun nipah) ketika ia ingin bersalin kulit.

makan makan raya

Pada hari raya ke-3 yang lepas, keluarga sebelah isteri Pak Zainal (Supian) daripada Manjung Perak datang ke rumah Pak Zainal….

Pada mulanya kami ingin memancing ikan di kolam untuk dijadikan lauk pada tengahari itu sahaja tetapi oleh kerana terlalu asyik dan seronok,… tangkapan kami berlebih…


Kami bergotong-royong membakar ikan ( sembilang, ikan tilapia merah dan hitam, dan bawal pacu)… Selain itu, Cik Supian mencipta resepi lokan panggang di mana bahan-bahan perencah ayam panggang digaulkan dengan lokan dan dibakar di atas daun pisang….. rasanya sungguh enak hingga menjilat jari… ‘Paat’ anak Supian begitu tekun menjaga lokan panggang tersebut…..

Junaidah ( Aju) daripada Bukit Senggeh Melaka pula tak tertahan melihat udang… Dia membuat sate udang…..


Khamis, 9 September 2010

Selamat Menyambut Aidilfitri

Selamat Aidilfitri buat semua...
Di sini Pak Zainal ingin meminta maaf sekiranya selama ini Pak Zainal ada tersilap bicara.... maklumlah sebagai makhluk Allah yang kerdil, kita tidak lari dari membuat kesilapan.

Kebelakangan ini penduduk kampung Pak Zainal sudah mula menjadikan rendang lokan salah satu hidangan utama di hari raya,....
Ramai yang mencari lokan... oleh itu,... lokan makin sukar dicari di kawasan sungai yang Pak Zainal cari rezeki....
Alhamdullillah Pak Zainal ada mengumpul lokan di Taman Lokan...
Pak Zainal hanya mengambil sedikit sahaja lokan untuk rendang yang akan dimasak oleh isteri Pak Zainal. Yang lain Pak Zainal simpan untuk dijadikan benih/induk.
Permintaan orang lain Pak Zainal terpaksa tolak kerana khuatir kawasan pembiakan lokan di Sungai Linggi-Rembau ini semakin berkurangan. Kalau kita ambil sahaja,.... bilangan kawasan pembiakan lokan akan berkurangan dan jumlah yang ada tidak akan mampu membiak dengan cepat dan banyak..... lama-kelamaan lokan akan pupus di Sungai Linggi-Rembau ini....

Selamat Hari Raya........

Rabu, 1 September 2010

Lawatan Sambil Belajar






Pelajar-pelajar IPTA juga tidak terkecuali dalam melawat Taman Lokan ini. Lawatan sambil belajar dijalankan ini pernah dilakukan oleh UITM Skudai, dan UITM Shah Alam dan juga UPM Serdang. Mereka berpeluang melihat aktiviti yang dilakukan oleh Pak Zainal. Mereka juga banyak memberi dorongan dan galakan kepada Pak Zainal.
Dengan pengalaman yang ada sejak menjadi nelayan, Pak Zainal boleh membiak benih lokan secara tradisional/semulajadi. Dalam jangka masa lebih kurang 4 bulan, lokan(dewasa) akan mengeluarkan benih di mana Pak Zainal meletakkan 4 ekor lokan(dewasa) di kawasan lopak, dan bilangannya bertambah sebanyak hampir 30 ekor. Keistimewaan lokan ialah mengeluarkan benih secara semburan ( sebesar jagung dan kulitnya sangat nipis dan lembut). Kelemahan lokan ialah tumbesarannya akan terbantut dan mungkin tidak dapat mengeluarkan benih jika diletakkan di tempat yang tidak sesuai. Keunikan lokan – ia boleh hidup di dalam kolam cuma rasa isinya berbeza kerana ia bergantung kepada makanan yang terdapat di dalam kolam itu sahaja manakala lokan yang diternak secara semulajadi akan dapat makanan yang lebih banyak dan pelbagai.
Lokan yang “bernafas” ( kelihatan buih-buih udara ke permukaan air ) memudahkan lagi kita melihat kedudukan lokan tersebut.

Pelawat



Di samping menjadi nelayan, Pak Zainal ada mendapat kunjungan pelancong dari dalam dan luar Negara. Pada awal tahun 2010 ini, sebanyak 58 orang pelancong (wartawan ) yang terdiri daripada 12 negara antaranya Brunei, Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam, USA, Mali,Pakistan, India, Sri Lanka… etc.

Kebanyakan aktiviti ialah melawat taman lokan , dan melihat bagaimana pencarian lokan dilakukan. Pelancong juga dapat merasa lokan bakar dan juga keenakan buah nipah. Pelancong juga didedahkan dengan kehidupan lain yang terdapat di Sungai Rembau – Linggi. Pelancong juga dapat melihat bagaimana nelayan di sini menjala dan memancing ikan dan udang. Ada kalanya pelancong dapat merasa pengalaman menjala udang di sungai. Pelancong amat seronok apabila melihat udang yang telah dapat mereka jala. Di samping itu, pelancong ditunjukkan bagaimana hendak mencari siput sedut, barai dan ketam nipah di dalam lubang dan juga menggunakan binto/ bubu.

Aktiviti ini adalah hasil usaha sama Pak Zainal dengan River Safari..... anda bolehlah melawat blog mereka...

http://riversafari.blogspot.com/

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika wartawan Thailand memberi perangsang kepada Pak Zainal untuk memajukan lagi Taman Lokan ini kerana walaupun lokan terdapat di Negara lain Pak Zainal berjaya menjadikan lokan sebagai aktiviti pelancongan. Ianya satu idea yang sangat menarik dan boleh diketengahkan lagi ke peringkat yang lebih tinggi dan beliau akan mengikuti perkembangan Taman Lokan ini.. Pak Zainal hanya bersekolah setakat darjah 6 Melayu tetapi Pak Zainal faham jugalah apa yang pelancong tuturkan di dalam bahasa inggeris…