Pada 20 Januari 2014, kampung kami dikunjungi seramai 56 orang pelajar kor suksis serta beberapa orang pegawai iringan. Majlis penyerahan anak angkat dirasmikan oleh YB Dato' Hj. Amir Yusof di balai raya Kpg. Paya Lebar. Aktiviti bermula pada 21 Januari 2014, iaitu semua peserta pergi melawat pengusaha baja organik di teratak agro Pak Zainal. Pak Zainal seorang nelayan telah mencipta beberapa jenis baja organik yang berasaskan bahan-bahan terpakai atau terbuang. Peserta telah diberi penjelasan oleh Pak Zainal dan pelajar-pelajar juga berpeluang mencuba sendiri secara praktikal cara-cara membuat baja.
Seterusnya, pelajar berpeluang untuk pergi melawat kawasan ternakan kelulut dan berpeluang merasa madu asli kelulut.
Pada sebelah petang, seramai 15 orang pelajar berpeluang pula menaiki bot merentasi sungai Rembau-Linggi untuk pergi ke taman lokan yang Pak Zainal usahakan. Kesemua pelajar berasa teruja dan seronok berada di taman lokan. Pelajar juga berpeluang untuk mencari lokan dan juga dapat merasa lokan yang dibakar sendiri serta memakan buah nipah yang manis dan enak sebagai santapan iringan. Aktiviti ini berlangsung selama 3 hari berturut-turut.
Semasa perjalanan menaiki bot, kami berpeluang untuk melihat keindahan khazanah alam flora dan fauna seperti buaya dan ular. Walaupun kita sering mendengar buaya adalah seekor haiwan yang ganas dan gerun didengar apabila disebut, yang anehnya nelayan dan kaki pancing di kawasan ini sudah sinonim dengan situasi begini kerana buaya di sini seolah-olah berkompromi dengan para nelayan.
Pada pagi 22 Januari 2014, kami berpeluang untuk menyertai program motivasi bersama warga sekolah Kpg. Ramuan Cina Besar. Kami ditugaskan untuk mendedahkan ilmu IT dan Bahasa Inggeris kepada murid-murid yang dipilih.
Setelah 4 hari meluangkan masa bersama penduduk kpg.Paya Lebar, pada hari Jumaat, tibalah masa untuk keluarga angkat menyerahkan kami kembali kepada para jurulatih. Upacara penyerahan diadakan pada pukul 3 petang di balai raya kampung tersebut. Suasana menjadi hiba dan kami berasa amat berat hati untuk berpisah serta meninggalkan tempat tersebut.
Walaupun program ini singkat, namun terdapat seribu kenangan manis yang kami tidak akan lupakan sepanjang program anak angkat ini. Kami juga berharap agar pertemuan kali ini bukan yang terakhir dan berdoa agar ditemukan kembali pada masa akan datang.
Saya Siti Noradila, wakil anggota kor suksis UiTM Shah Alam mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk Kpg.Paya Lebar kerana memberi kami pelbagai pengalaman baru serta layanan mesra seperti keluarga sendiri.
Sekian, Terima Kasih :-)
0 comments:
Catat Ulasan