Telefon : 017-6735229

Isnin, 27 Julai 2009

AKTIVITI & PROMOSI


Pada 12 julai 2009, En. Zainal telah mengambil kesempatan semasa berlangsungnya Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Kg. Ramuan China Besar untuk membuat promosi bagi menjual lokan peliharaannya.Sambutan yang mengalakkan diterima daripada penduduk Kg. Ramuan China Besar terhadap lokan En. Zainal kerana rasa lokannya yang sedap dan segar serta dijual dengan harga yang berpatutan.





Rabu, 15 April 2009

PENGENALAN

Sungai Rembau - Linggi unik dengan 2 jenis air iaitu air masin dan air payau. Oleh itu ia kaya dengan pelbagai spesis hidupan ( flora dan fauna ) laut dan sungai yang sememangnya banyak mendapat permintaan tinggi dari pelbagai pihak.
Di antaranya ialah lokan, barai (lala), tiram, siput ( sedut , timba...), udang ( kertas , galah....), ketam nipah, ikan ( pari, gelama, siakap, kurau,.......). Selain dari itu terdapat pelbagai tarikan lain iaitu kelip-kelip ( kunang-kunang), tuntung, burung, ular, buaya, pelbagai tumbuhan bakau dan nipah, dan banyak lagi.... Ia merupakan Lubuk Emas bagi orang ramai terutama sekali bagi penduduk setempat, kaki pancing, nelayan, pelancong, penyelidik, dan lain-lain lagi.
Dewasa ini, semuanya semakin berkurangan dan diancam kepupusan akibat aktiviti pembangunan, pencemaran air, dan penangkapan (akibat permintaan yang melebihi bekalan ). Di mana disebabkan ekonomi yang tidak stabil memaksa ramai yang turun menangkap hasil di Sg. Rembau - Linggi ini. Hasil tangkapan tidak semewah dahulu dan penggunaan alatan penangkapan yang tidak sesuai menyebabkan benih-benih hidupan yang sepatutnya dibiarkan matang telah turut ditangkap.
Saya merupakan seorang nelayan dan pencari lokan sejak tahun 70-an adalah di antara nelayan pakar yang dapat mengenalpasti taburan dan tabiat pergerakan lokan di Sungai Rembau - Linggi ini. Timbul kesedaran saya untuk mengadakan satu tempat pengumpulan ( penyelidikan ) khususnya terhadap lokan dan siput sedut di sebuah kawasan hutan bakau yang terletak berhampiran dengan Kem Pusat Latihan Khidmat Negara( PLKN) Warisan Bukit Chempedak.
Inisiatif ini adalah dengan kerjasama Jabatan Perikanan Melaka dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Di mana sokongan telah diberikan di bawah Skim Akuakultur - tapak seluas 2.4 ekar, khidmat nasihat, benih, dan lain-lain lagi. Segmen Lokan di dalam Majalah 3 (TV3), artikel mengenai lokan di akhbar Sinar, Melaka Hari Ini, dan Harian Metro turut memberikan pendedahan dan membantu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan memulihara dan mengekalkan keseimbangan ekosistem bagi menghalang kepupusan hidupan terutama sekali lokan dan siput sedut ini.Semoga usaha murni saya ini akan dapat kerjasama semua pihak.